Berpuasa juga dapat mempertingkatkan mutu kesihatan mulut serta memupuk tabiat baik ke arah penjagaan gigi
 dan gusi. Penjagaan kesihatan mulut selalu dipandang remeh sehingga 
ramai pesakit menanggung kesakitan akibat kerosakan gigi mahupun gusi.
Ramai
 pesakit mengambil jalan mudah dengan hanya mencabut gigi apabila 
mengalami kesakitan. Kehilangan satu anugerah Ilahi yang tidak terperi 
ini bukan mudah dan murah untuk diganti dengan sesuatu yang seumpamanya.
 Justeru, pencegahan penyakit pergigian selalu ditekankan supaya rawatan
 masalah membabitkan gigi tidak menjadi rumit.
Perlindungan Gigi Semasa Puasa
Langkah pencegahan sebenarnya boleh diamalkan ketika berpuasa.
 Contohnya, bagi penyakit karies atau gigi berlubang, kajian menunjukkan
 apabila manisan dalam bentuk karbohidrat ringkas kerap didedahkan 
kepada permukaan gigi, kesan pereputan mineral gigi menjadi semakin 
besar.
Apabila seseorang itu berpuasa, gigi terlindung 14 jam 
daripada kesan manisan. Ia hanya berlaku ketika berbuka puasa apabila 
manisan dalam juadah dan makanan mula diambil.
Walaupun kita 
disunatkan memakan makanan manis seperti tamar atau buah-buahan ketika 
berbuka, kita perlu ingat supaya sentiasa bersederhana, terutama dalam 
soal makan.
Memperbanyakkan amal ibadat sunat seperti solat 
tarawih dan bertadarus sedikit sebanyak dapat mengawal kekerapan umat 
Islam untuk makan, terutama pengambilan makanan atau minuman manis. Ia 
dapat mengurangkan kekerapan pendedahan manisan ke atas permukaan gigi 
dan proses kerosakan gigi.

Elak Rokok
Pengambilan makanan dan minuman manis mesti dikawal ketika berbuka. Bagi perokok, jangan cari rokok sebagai 'pelengkap' berbuka.
Selain
 menjadi sebab utama kepada lebih 10,000 kematian setahun di negara 
kita, merokok sebenarnya memberi kesan negatif kepada kesihatan mulut 
seperti pertukaran warna kepada permukaan gigi dan nafas berbau.
Mengikut kajian, tidak ramai tahu perokok juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat kanser mulut dan penyakit gusi (periodontitis). Penyakit gusi mengakibatkan gusi menjadi radang dan kehilangan sokongan gigi pada soketnya.
Kesan
 sistemik kepada tubuh badan apabila merokok ternyata berkurangan dan 
perokok berjaya menahan daripada ketagihan nikotin selama 14 jam ketika 
berpuasa. Perokok sepatutnya mengambil peluang pada Ramadan untuk 
membentuk hidup lebih positif dengan mengurang atau memberhentikan 
tabiat merokok.
Kesan berhenti merokok terbukti ada banyak kelebihan daripada segi memulihkan penyakit gusi dan pencegahan barah mulut.

Mulut Berbau
Merokok memberi kesan buruk kepada kesihatan mulut. Masalah mulut berbau adalah perkara biasa ketika berpuasa.
Apabila
 berpuasa atau berlapar, badan membakar lemak untuk penghasilan tenaga 
dan ini mengakibatkan pembebasan aseton melalui nafas yang memberi bau 
kurang menyenangkan.
Mulut juga bertambah kering ketika berpuasa.
 Bagaimanapun, ia tidak perlu dibimbangkan, malah ia satu kelebihan bagi
 orang berpuasa sebagaimana disebut dalam hadis diriwayatkan daripada 
Bukhari dan Muslim : 'Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa adalah lebih
 harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada harum kasturi.'
Namun
 mulut tambah berbau dan kurang menyenangkan apabila mulut menjadi 
terlalu kering, kurang bersih dan memakan makanan berbau ketika berbuka 
atau bersahur. Mulut kering mengakibatkan sel mati di dalam mulut 
terkumpul pada permukaan lidah dan gigi menyebabkan mulut berbau.
Kebersihan
 mulut yang tidak baik disebabkan terdapat sisa makanan dan plak yang 
terkumpul pada permukaan dan celah gigi. Sisa makanan dan plak bertindak
 balas dengan bakteria dan menghasilkan gas berbau (sulfur).
Makanan
 seperti rempah-ratus dan bawang putih boleh mengakibatkan mulut berbau 
jika diambil berlebihan ketika berbuka mahupun bersahur. Justeru, untuk 
nafas lebih menyenangkan, mengurangkan masalah kerosakan gigi dan 
meningkatkan kesihatan mulut, amalan berikut boleh membantu.
# Memberus gigi secara menyeluruh dengan lebih efektif sebelum tidur dan selepas bersahur
# Menggunakan flos untuk membuang plak dan sisa makanan antara celah gigi
# Bersihkan gigi palsu dengan baik
# Banyakkan minum air sewaktu berbuka dan bersahur
# Pastikan gigi berlubang ditampal
# Mengawal kuantiti dan kekerapan pengambilan minuman dan makanan manis
Memberus Gigi Amalan Rasulullah SAW
Peluang
 menambah pahala sentiasa terbuka sepanjang Ramadan apabila kita 
mengamalkan sunnah Rasulullah SAW iaitu sentiasa bersugi (membersihkan 
gigi).
Sudah pasti apabila ke masjid untuk menunaikan solat sunat
 tarawih, bertadarus dan bertahajud pada malam hari, disunatkan memberus
 gigi sebagai sebahagian penjagaan kebersihan diri sebelum menunaikan 
ibadat.
Rawatan Gigi
Rawatan gigi boleh dilakukan 
ketika berpuasa tanpa perlu berbuka jika tiada bahan luar ditelan selain
 air liur. Pemberian ubat bius setempat juga tidak membatalkan puasa 
seseorang. Sungguhpun demikian, ramai orang lebih selesa untuk mengelak 
menerima rawatan pada Ramadan untuk menjaga kesempurnaan puasa mereka.
Namun, kita digalakkan sentiasa memastikan mulut dan gigi dalam keadaan baik sebelum menghampiri Ramadan.
Berjumpa
 doktor gigi dengan kerap secara tidak langsung memberi kesan penjagaan 
kesihatan gigi yang baik dan pencegahan penyakit gigi serta mulut.
Semoga
 Ramadan menjadi tapak latihan untuk kita meningkatkan amal ibadat, di 
samping memelihara tabiat baik penjagaan kesihatan mulut yang dibentuk 
sepanjang Ramadan seperti mengawal dan mengehadkan pengambilan makanan 
dan minuman manis serta membersihkan gigi setiap kali selepas makan 
dapat diteruskan sepanjang tahun. (credit)
Salam Ramadhan,
Aniszzddin
 
No comments:
Post a Comment